Bapa Kecewa Hak Anak OKU Dinafikan, Peniaga Suruh Alih Kereta Sebab Nak Niaga

Isu meletakkan kereta di parkir Orang Kurang Upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang baru kita dengar. Namun, apa yang menjadi isu apabila tapak parkir OKU disalah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini, tular perkongsian seorang bapa dikenali sebagai Isma Nizam Norahman yang berkongsikan apabila hak anaknya yang OKU dinafikan.

Menerusi entri di Facebook, Nizam meluahkan rasa kecewa apabila ada peniaga memintanya untuk mengalihkan kenderaan di parkir OKU.

Berkongsi cerita pada kejadian Ahad lalu, dia bersama anaknya yang berstatus OKU ke sebuah kompleks sukan di Klang.

Dia kemudian ternampak satu tapak khas yang kosong namun telah diletakkan kerusi. Nizam berkata dia kemudian mengalihkan kerusi berkenaan untuk meletakkan kenderaannya.

Bagaimanapun, datang seorang individu yang memintanya untuk mengalihkan kenderaannya dengan alasan mahu menggunakan tapak tersebut untuk meletakkan van niaga di situ.

Meskipun sudah memaklumkan bahawa dia memerlukan tapak khas berkenaan kerana membawa anaknya yang OKU. Namun, peniaga berkenaan tetap bertegas meminta alihkan kenderaan.

Tidak hanya berdiam diri, Nizam sekali lagi menegaskan tentang hak anaknya yang OKU ditambah mereka mempunyai pelekat parkir OKU serta mempersoalkan adakah dia perlu mengalihkan kerta.

Selepas diberitahu tentang perkara itu, individu berkenaan kemudian meminta maaf kepadanya.

Diakhir perkongsian itu, Nizam turut memberitahu anaknya jika ada yang mengambil kesempatan di atas kelemahan kita, kita perlu pertahankan hak kita.

Perkongsian Nizam itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meminta supaya membuat aduan mengenai peniaga itu agar dikenakan tindakan.

SUMBER: Facebook Isma Nizam Norahman