Baru Rai Majlis Kahwin Drive Thru Anak, Ku Nan Didapati Bersalah Terima Rasuah RM2 Juta

Semalam hangat diperkatakan mengenai majlis perkahwinan anak lelaki Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila 10,000 orang menghadiri majlis tersebut yang berkonsepkan ‘drive through’ di Dataran Putrajaya.

Namun kegembiran Tengku Adnan Mansor hanya seketika apabila hari ini, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lepas.

Hakim Mahmakah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan sabitan itu sambil Tengku Adnan melihat dari kandang tertuduh semasa prosiding terbuka pagi tadi.

Memetik laporan Bernama, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah terhadap Tengku Adnan, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 semalam.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB.

Ku Nan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016. Ku Nan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SUMBER: Bernama