Bayi 9 Bulan Dibunuh, Diliwat Suami Pengasuh Ketika Ditinggal Bersama Selama 2 Jam

Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan telah disahkan meninggal dunia selepas diliwat dan dibunuh oleh suami kepada pengasuh yang menjaganya. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah rumah di Kelana Jaya, Selangor pada 27 April lalu.

Menurut Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, bayi berkenaan dihantar sendiri oleh suspek ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat lebam pada mulut bayi dipercayai kesan ditekup sehingga mangsa meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat terhadap bayi tersebut mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut disyaki ditekup menggunakan tangan dan beberapa kesan koyakan di bahagian dubur disyaki akibat kemasukan benda tumpul,” katanya.

Pengasuh dan suaminya yang merupakan warga tempatan berumur 36 tahun telah ditangkap di kediaman mereka di Kelana Jaya pada 29 April 2021. Alat seks bersama beberapa barang lain turut dirampas ketika tangkapan dibuat.

“Antaranya ialah dua lampin pakai buang, sehelai kain warna putih, sehelai seluar, karpet bercorak merah hitam, sehelai seluar pendek, sehelai baju lengan pendek dan cecair nyah kuman,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

Siasatan polis mempercayai bayi berkenaan diliwat selepas ditinggal bersama dengan suami pengasuh di bilik mereka selama lebih kurang dua jam.

SUMBER: Malaysia Gazette