Bekas Pesakit Covid-19 Kecewa, Dipulaukan Orang Ramai Seperti Penjenayah

Sejak dari awal penularan wabak COVID-19 di negara kita, bermacam kisah kita dengar apabila pesakit COVID-19 dipandang hina oleh masyarakat kononnya merekalah pembawa virus berkenaan.

Seperti yang dihadapi oleh seorang bekas pesakit COVID-19 ini yang bukan sahaja terpaksa berlawan dengan virus tersebut, malah perlu berhadapan dengan pelbagai persepsi masyarakat.

Shakirin Al-Ikram Abd Hamid antara pesakit daripada kes Kluster Utama yang dijangkiti Covid-19 hasil ujian calitan dilakukan pada 11 Oktober lalu.

Shakirin yang bekerja sebagai pembantu jualan premis pakaian di pusat beli-belah di Bandar Utama berkata, dia tidak mengalami gejala teruk atau demam, cuma simptom ringan seperti sakit sendi dan rasa hendak pitam beberapa hari sebelum disahkan positif Covid-19.

Namun bapa kepada dua cahaya mata itu berkata lebih menyedihkan sepanjang dia berada di wad anak dan isteri di rumah dipulaukan masyarakat seolah-olah mereka melakukan jenayah.

“Sepanjang saya berada di wad, perkara paling menyedihkan apabila anak dan isteri di rumah dipulaukan masyarakat seolah-olah penjenayah.

“Sedangkan hanya saya seorang saja positif Covid-19 dan mereka negatif serta tidak dimasukkan di hospital,” katanya.

Shakirin berkata penduduk setempat juga memberikan layanan dingin kepada keluarganya malah alamat rumahnya turut disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Shakirin berkata, dia dituduh membuang gelang tangan kuarantin sedangkan perkara itu tidak benar. Malah, ibu serta bapanya yang tinggal di blok sebelah serta keluarga pengasuh turut terkena tempiasnya.

“Paling menyedihkan apabila isteri mahu membeli bekalan susu dan lampin pakai buang yang habis, tetapi tidak dibenarkan kerana orang sekeliling takut dia menjadi punca.

“Saya cuba menggunakan khidmat penghantar, tetapi mereka menolak kerana tidak berani ambil risiko.

“Apa yang berlaku menambah tekanan ketika saya di wad kerana setiap masa memikirkan anak dan isteri di rumah, memandangkan saya ketua keluarga tetapi tidak dapat membantu ketika mereka ditinggalkan,” katanya.

Bagaimanapun, Shakirin meluahkan rasa syukur apabila perkongsiannya di Facebook mendapat perhatian ramai dan ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan buat keluarganya.

“Alhamdulillah, ramai memberi kata semangat dan tidak kurang tampil menghulurkan sumbangan.

“Salah seorangnya adalah pengurus restoran ,Shahrul Nizam Kamal yang menghantar makanan untuk keluarga saya sepanjang saya berada di wad,” katanya.

Dalam pada itu, Shakirin menyeru agar orang ramai tidak memandang serong kepada pesakit atau bekas pesakit Covid-19 kerana mereka juga mangsa kepada virus tersebut.

SUMBER: Harian Metro