Beli Dan Modified Kereta Skyline GTT R34, Tapi Hancur Sebelum Sampai Ke Tangan Pemilik Baru

Sejak semalam tular di media sosial memaparkan gambar sebuah Nissan Skyline GTT R34 hancur teruk selepas melanggar sebatang pokok dalam kejadian berlaku di Johor.

Namun, apa yang menyedihkan difahamkan kereta tersebut baru sahaja selesai proses jual beli oleh pemandu yang merupakan ‘orang tengah’ diantara pemilik lama dan pemilik baru kereta berkenaan.

Menerusi satu entri di Facebook, pemilik lama kereta tersebut berkongsikan dia baru sahaja menjual keretanya kepada pemilik baru dengan transaksi bayaran penuh dan thumbprint menggunakan e-auto bagi urusan penukaran nama pemilik kereta pada pukul 2.18 petang pada hari kejadian.

Ujarnya, dia sudah pun memaklumkan kepada pemilik baru bahawa kereta berkenaan telah diletakkan di rumah ‘orang tengah’ yang diberi kepercayaan oleh pemilik baru untuk menguruskan kereta tersebut.

Kongsinya lagi, baru sahaja sejam kereta itu ditinggalkan, dia dimaklumkan kereta berkenaan mengalami kemalangan.

Sebaik sahaja menerima berita berkenaan, dia bersama rakan-rakan terus ke tempat kejadian. Ujarnya, dia akui hatinya remuk melihat kereta kesayangannya itu hancur teruk.

Katanya lagi, lebih kecewa sudah tentu pemilik baru yang bukan sahaja tidak sempat memandu keretanya tetapi belum lagi melihat di hadapan matanya sendiri.

Difahamkan, ketiga mereka bersemuka untuk mendapatkan penjelasan mengenai kemalangan tersebut dan bersetuju untuk menyelesaikan dengan baik.

Dalam pada itu, dia sempat menasihatkan kepada pengguna dan orang tengah agar sentiasa berwaspada kerana kejadian sedemikian boleh berlaku jika tidak cekap mengawal.

SUMBER: Facebook Mohd Hafis