Benarkah Cara Orang Melaka Dan Pulau Pinang Pandu Kereta Boleh Buat Bergaduh?

Malaysia merupakan salah satu negara yang sangat bertuah kerana memiliki negeri-negeri berbeza yang mempunyai keistimewaan masing-masing. Bila sudah banyak negeri ini, macam-macam makanan kita boleh rasa.

BACA: Kajian Buktikan Rakyat Sarawak Paling Romantik, Kelantan & Putrajaya Di Tangga Akhir

Namun perbezaan juadah makanan bukanlah salah satu perkara sahaja yang boleh kita kongsi. Contohnya, setiap negeri pun ada loghat masing-masing. Bab loghat ini hari lain kita kupas sebab hari ini nak kupas mengenai sikap pemandu dulu.

Berdasarkan pemerhatian kami di laman sosial, terdapat sentimen yang mendakwa pemandu-pemandu dari Pulau Pinang ini kebanyakannya memang suka memandu secara sesuka hati.

Asal ada kejadian di negeri terbabit saja, terus berduyun komen mengenai sikap segelintir pemandu negeri berkenaan dikongsikan. Namun baru-baru ini, ada juga yang menambah bahawa pemandu dari negeri Melaka turut mempunyai sikap yang lebih kurang sama.

Walaupun team Gulapop sendiri pernah mengalami sendiri kebiadapan pemandu di negeri yang disebutkan ini tapi kami pasti bukan semua pemandu bersikap sedemikian.

Kadangkala sikap atau ego kerana merasakan ‘negeri aku lagi bagus’ pun boleh menjadi punca mengapa kebencian berdasarkan negeri ini muncul dan jangan lupa, samada anda perasan atau tidak, kita ini kalau sudah naik kereta, cepat betul rasa nak marah walau dengan sekecil perkara, pelik kan?

Melalui perkongsian kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) di portal berita ini, Melaka menduduki tangga kedua peratusan tertinggi pemandu dengan kemarahan melampau.

Malah ia turut dikaitkan dengan dakwaan mengenai keadaan jalan yang sempit – situasi sama seperti di Pulau Pinang. Namun laporan kajian tersebut adalah pada tahun 2013 dan mungkin kita boleh nantikan kajian terkini daripada MIROS selepas ini.

Merujuk kepada kajian ini, ternyata wujud beberapa faktor lain yang mendorong perubahan sikap pemandu di atas jalan raya dan menurut kajian itu juga, negeri Kedah adalah negeri yang penyabar sikit orangnya.

Apa yang pasti, tidak kisahlah dari mana negeri anda berasal, sikap marah sememangnya hanya menyusahkan keadaan. Cuba bayangkan, kita nak cepat tapi ada kereta Myvi selamba bawa perlahan di lorong kanan, ha, baca pun dah rasa nak marah bukan?

Atau mungkin juga anda sendiri ada pengalaman yang nak dikongsikan bersama kami, boleh tinggalkan di ruangan komen.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.