Sebelum ini sekitar Jun lalu, kisah seorang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mendapat perhatian. Kisahnya bermula apabila pelajar berkenaan, Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan capaian internet demi menjawab soalan ujian.
BACA: YouTuber Korea Mengaku Gunakan Islam Untuk Raih Populariti
UPDATE-1: Menteri telah pun memohon maaf di atas kesalahan fakta yang diberikan di Dewan Negara.
Melalui kisahnya yang tersebar itu, ahli politik dan beberapa pihak bertanggungjawab pun turut sama melawati kampung pelajar tersebut yang terletak di Pitas, Sabah. Malah TM turut menaiktaraf kelajuan internet di kampung berkenaan.
Hanya Buat Untuk Hiburan?
Bagaimanapun, lain pula ceritanya apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menjelaskan hasil siasatan kementeriannya mendapati Veveonah yang juga merupakan seorang Youtuber, sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.
“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan”
“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu,” katanya dipetik melalui laporan Sinar Harian.
Punca Kisah Veveonah Dibuka Semula
Perkara itu timbul bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang bertanyakan tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar serta mengaitkan isu video tular Veveonah dengan perkara itu.
Namun kisah berkenaan tidak tamat begitu saja apabila ada beberapa individu di laman Twitter menyatakan bahawa Veveonah memang menduduki peperiksaan selain meminta agar orang ramai tidak terpedaya dengan dakwaan yang dikeluarkan menteri tersebut.
Sehingga kini, belum ada kenyataan balas daripada menteri tersebut dan rata-rata netizen mahu mendapatkan jawapan yang sebenarnya berhubung isu berkenaan. Jika anda belum menonton susah payah Veveonah menjawab periksa, boleh tonton video di bawah.