Bengang ‘Laluan Tikus’ Ditutup, Penduduk Bakar Penghadang Jalan

Gara-gara marah laluan tikus ditutup, penduduk di Besut, Terengganu bertindak membakar penghadang dan kawat duri yang telah didirikan oleh pihak polis.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata perbuatan khianat itu dikesan di Kampung Gong Lapang, Besut kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Beliau berkata tindakan tersebut jelas menunjukkan ada masyarakat yang tidak mengambil endah dengan arahan yang telah dikuatkuasakan.

Kata beliau lagi, ini merupakan bukti sikap tidak bertanggunjawab dengan merosakan penghadang dan kawat duri yang telah dibuat di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Putih, Kelantan.

Tindakan itu, jelasnya seperti memberontak kerana “laluan tikus” yang biasa mereka lalui telah pun ditutup sepenuhnya di sempadan antara kedua negeri itu.

Susulan itu Roslee berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bersama Jabatan Kerja Raya telah meletakkan penghadang batu bagi memastikan laluan ini tidak dialihkan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga kini sedang giat memburu individu yang melakukan perbuatan khianat berkenaan.

SUMBER: Astro Awani