Berang Selalu Banjir, Lelaki Ini Lepaskan Anak-Anak Ikan Di Laluan Motosikal

Isu laluan motosikal rosak dan tidak diselia dengan baik bukanlah perkara baru sehinggakan ada sanggup membahayakan nyawa mereka serta rela disaman polis dek kerana menggunakan laluan utama.

Seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna motosikal ini keadaan di terowong laluan motosikal dipercayai di Lebuhraya Persekutuan yang banjir setiap kali musim hujan. Malah ada yang mendakwa perkara itu sudah berlanjuran lebih 3 bulan.

Menerusi satu lagi video, mungkin berang dengan laluan tersebut yang sering sahaja banjir, seorang lelaki bertindak melepaskan anak-anak ikan di kawasan air bertakung. Antara ikan yang dilepaskan adalah ikan puyu, ikan kap, ikan haruan dan ikan talapia.

Tindakannya itu jelas merupakan satu bentuk sindiran kepada pihak berkuasa kerana tidak bertindak segera dalam memperbaiki laluan tersebut. Lelaki itu sempat berseloroh untuk mengadakan pertandingan memancing di laluan tersebut.

Perkongsian lelaki itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang terhibur dengan tindakan individu berkenaan yang menggunakan cara ‘halus’ untuk memerli pihak berkuasa.

SUMBER: Majalah Kapcai TV