Berlubang & Rosak Teruk, Jalan Di Sarawak Ini Bernilai RM800 Juta

Isu jalan raya di Sabah dan Sarawak bukanlah perkara baru yang sering dibincangkan. Meskipun Sarawak penuh dengan sumber kekayaan namun ianya tidak dapat dinikmati oleh rakyatnya.

Jika anda pernah ke Sabah dan Sarawak pasti tertanya-tanya mengapa jalan raya di sana kebanyakan mudah rosak dan berlubang sana-sini. Rupanya, jalan raya tersebut menggunakan bahan berkualiti rendah.

Bagaimanapun, segalanya terjawab menerusi laporan oleh Harian Metro menunjukkan sebuah jalan yang dibina di Sarawak menggunakan bahan berkualiti rendah, namun ‘untung’ yang diperoleh mencecah RM800 juta.

Difahamkan jalan raya dibina hanya diletakkan lapisan tar dianggarkan hanya setebal dua inci di atas permukaan tanah tanpa lapisan batu kerikil dan pasir seperti termaktub di dalam syarat kontrak.

Akibatnya jalan dibina itu mudah rosak ketika dilalui kenderaan berat termasuk lori balak hingga menyusahkan penduduk yang menggunakannya sebagai jalan penghubung antara kawasan pedalaman.

Laporan juga memberitahu dua orang pengarah syarikat kontraktor telah ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah dan tuntutan palsu daripada Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta itu, semalam.

Menurut sumber, kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun adalah rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan.

“Siasatan mendapati projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dinamakan Projek Jiwa Murni itu di bawah Kementerian Pertahanan dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak 2010 hingga 2016,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan penahanan berkata siasatan dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek terbabit.

Difahamkan, Kerajaan Negeri Sarawak sudah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

SUMBER: Harian Metro