Bermula Jual Keropok Meja Ke Meja, Lelaki Ini Berjaya Buka Kedai Sendiri

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itu yang boleh digambarkan mengenai kesungguhan seorang lelaki ini yang sebelum ini menjual keropok dari meja ke meja dengan harga RM2 sebungkus kini sudah berjaya membuka kedai sendiri.

Menerusi satu perkongsian, lelaki tersebut Dinie Shazwi memohon maaf kepada semua mereka yang tidak selesa akan kehadirannya yang menghampiri mereka yang ketika itu sedang menjamu selera untuk menjual keropoknya.

Kata lelaki itu, berkat usahanya dia kini berjaya membuka sebuah kedai hasil daripada jualan yang dikumpulnya selama dua tahun.

Banyak dosa saya kerana menggangu kawan semua menjamu selera

Assalammualaikum. Saya minta maaf encik ganggu encik makan. Saya jual keropok sebungkus 2 ringgit” Tersengih-sengih saya di hadapan anda. Tetapi dalam hati saya letakkan harapan tinggi kawan-kawan dapat beli keropok saya tu.

Ada yang beli walaupun dalam keadaan marahkan saya. Ada yang beli sebab sokong perniagaan saya. Ada yang halau saya. Ada yang mencemuh saya. Ada yang suruh simpan baki. Ada yang ketawakan saya.

Saya minta maaf atas kehadiran saya menjual keropok secara meja ke meja selama 2 tahun. Saya minta maaf kerana mengganggu kawan-kawan PSP semua menjamu selera. Banyak dosa saya dengan kawan-kawan PSP.

Maafkan saya ya. Sungguhpun begitu, dalam masa 2 tahun. Saya berjaya dapat kumpul sedikit modal untuk mulakan semula perniagaan Udang Mayo yang sekarang.

Katanya lagi, modal ilmu, pengalaman, motivasi dan semangat yang dia dapat di jalanan dengan menjual keropok secara meja ke meja akhirnya mendatangkan hasil.

Dalam pada itu, Dinie turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik kedai yang memberi kebenaran untuk berniaga di premis berkenaan serta mempromosikan kedainya bernama Udang Mayo terletak di dalam foodcourt garden station (sebelah Tesco Bakar Arang)

SUMBER: Udang Mayo Sungai Petani