Masihkah anda ingat ketika zaman anda mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) satu ketika dahulu? Kalau yang dah confirm skor tu, mungkin tidaklah berdebar sangat tapi bagi kami yang biasa-biasa ini, debaran memang terasa.
Ketika itu, SPM umpama satu penentu kehidupan. Peperiksaan yang diambil ketika berusia 17 tahun ini dilihat menjadi penanda aras kejayaan dalam kehidupan yang mendatang.
Tidak cukup dengan itu, ibu bapa dalam masa yang sama turut berkongsi debaran. Pastinya setelah keputusan diperolehi, ia akan dikongsikan bersama saudara terdekat. Risikonya bergantung kepada tahap kepandaian anak, jika cerdik dan cemerlang, pasti dicanang tapi jika sebaliknya, sebolehnya mahu disembunyikan.
Whatsapp Jadi Medan Perbandingan
Sedar atau tidak, situasi macam ini memang dari dulu sudah ada tapi dengan kepesatan teknologi yang ada sekarang, punca kepada tekanan dan debaran tersebut tidak sepatutnya menjadi kayu pengukur kehidupan.
Aplikasi Whatsapp pastinya menjadi medium paling popular di kalangan ibu bapa. Pelbagai group diwujudkan termasuklah untuk kelas anak, keluarga dan saudara-mara.
Namun dalam masa yang sama, persaingan di antara saudara mara mungkin tidak dapat dielakkan sehingga menyebabkan ada pihak yang terasa hati. Lebih teruk lagi apabila tiba musim keluar keputusan peperiksann.
Maka bersiap sedialah ibu dan bapa untuk memberitahu keputusan anak masing-masing di dalam group Whatsapp. Ada segelintir ibu bapa yang memahami perkembangan anak-anak pastinya akan tenang saja.
Apa yang kami perasan, ketika zaman SPM dulu, adalah perkara yang memalukan jika anak tidak cemerlang peperiksaan. Impaknya sampai keluarga tersebut asyik merasa seperti sentiasa dipandang rendah berbanding dengan keluarga yang lain.
Perjalanan Anak Masih Jauh
Apa yang jelas, perbezaan dan perbandingan mengenai keputusan peperiksaan anak tidak sepatutnya menjadi trofi buat ibu bapa. SPM hanyalah permulaan selepas habis sekolah menengah, jauh lagi laluan kehidupan yang perlu dilalui.
Kami percaya, ada di kalangan pembaca Gulapop mempunyai cerita tersendiri tentang bagaimana mereka bangkit selepas SPM. Ada yang kurang bab belajar tapi cukup cemerlang melangit bab berniaga apabila berhadapan dengan dunia sebenar.
Apa pun, pesanan buat ibu bapa, SPM adalah satu titik mula bagaimana seorang anak bakal mengubah masa depannya sendiri. Seeloknya kita dapat memberi bimbingan terbaik agar mereka tidak salah memilih jalan.