Bil Elektrik Melambung Tinggi, Ini Jawapan Tepat Dari TNB

Sejak kebelakangan ini, cuaca di Malaysia agak panas. Susulan itu, mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk antara punca peningkatan bil elektrik terutama ketika cuaca panas.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor, Ismail Lathifi Teh, berkata peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara serta kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutama ketika cuaca panas.

“Ketika cuaca panas seperti sekarang, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik akan digunakan peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya.

Katanya lagi, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis, ia akan diisi air yang baharu dan kompresor akan berfungsi menyejukkan air berkenaan.

Lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi turut menasihatkan pengguna supaya menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius pada penyaman udara bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan ia ditutup awal pagi kira-kira jam 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dalam rumah,” katanya.

Beliau turut menyarankan pengguna melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala supaya ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan.

“Saya dapat aduan mengatakan pengguna tidak menggunakan penyaman udara, tetapi bil elektrik mereka tetap melambung. Mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” tambahnya.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram

SUMBER: Bernama