Bos Turun Padang Jual Makanan Tepi Jalan Untuk Selamatkan Hotel

Tidak dinafikan, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sektor perhotelan antara industri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Lebih menyedihkan, banyak hotel terpaksa gulung tikar hingga mengakibatkan ramai pekerja hilang sumber pendapatan. Bagaimanapun, masih ada pengusaha yang cuba bertahan sehabis boleh dengan melakukan pelbagai inisiatif untuk menjana pendapatan.

Seperti yang dilakukan oleh Pengurus Hotel Red Rock, Jeffrey Lim ini sanggup turun padang untuk mempromosikan jualan makanan daripada hotelnya di George Town, Pulau Pinang.

Menerusi video dikongsikan oleh Bernama, Jeffry dilihat sedang memegang kad manila yang tertulis ‘RM3.00’ serta memanggil pelanggan untuk membali makanan dijual oleh hotelnya itu.

Pelbagai menu dijual antaranya mihun tomyam, nasi goreng dan nasi ayam yang hanya hanya berharga RM3.00 sahaja.

Jeffry berkata usaha jualan itu dilakukannya sejak Isnin lalu demi kelangsungan perniagaan serta untuk menjaga kebajikan para pekerja.

“Ini adalah bagi membantu hotel dan pekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika Covid-19.

“Kami perlu bergantung pada usaha sendiri untuk terus hidup dan tidak boleh bergantung pada bantuan kerajaan yang tidak banyak untuk industri hotel,” katanya.

Inisiatif yang dilakukan oleh pengusaha hotel berkenaan ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang kagum dengan usaha yang dilakukan serta memberikan kata-kata semangat buat mereka yang terlibat.

SUMBER: Twitter Bernama