Nampaknya ini merupakan berita baik untuk semua rakyat Malaysia apabila pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) akan dilaksanakan bermula 21 Januari ini.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dimana fasa kedua itu dipercepatkan susulan pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, semakan kelulusan boleh dibuat mulai Jumaat ini iaitu 15 Januari 2021 menerusi laman sesawang ini https://bpn.hasil.gov.my.
Katanya lagi, bagi penerima kategori B40, bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank bermula 21 Januari ini makala kategori M40 pula bermula 25 Januari 2021.
Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula, pembayaran akan dibuat mulai 25 Januari 2021 di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa.
Fasa kedua BPN 2.0 akan diberikan kepada 11.06 juta penerima merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada serta 460,000 penerima baharu dengan jumlah bayaran keseluruhan RM2.38 bilion.
SUMBER: BH Online