Buah Pinggang Boleh Rosak Kalau Makan Paracatemol? KKM Dedah Kesan Sebenar Pada Badan Kita

Sebut sahaja Paracetamol pasti ramai tahu ianya ubat yang sering diambil terutama ketika demam. Namun, ada sahaja dakwaan yang sedap di dengar apabila ada yang mengatakan ubat ini boleh beri kesan buruk pada buah pinggang.

Adakah benar ianya boleh membuatkan buah pinggang rosak? Atau ia hanya mitos semata-mata? Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Twitter tampil menjelaskan perkara sebenar disebalik dakwaan tersebut.

Benarkah paracetamol boleh kekal dalam badan bertahun-tahun?

Dakwaan paracetamol boleh kekal di dalam badan dan merosakkan buah pinggang hanyalah sebuah mitos.

Menurut KKM, kesan ubat itu akan berkurangan sebanyak 50 peratus selepas 4 jam pengambilan manakala 98 peratus daripada dos diambil akan dikeluarkan daripada badan dalam tempoh satu hari.

Dalam pada itu, KKM turut memberikan garis panduan untuk pengambilan paracetamol antaranya menjarakkan masa pengambilan kepada empat hingga enam jam mengikut keperluan.

Kata KKM lagi, jika demam tidak pulih selepas tiga hari, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi rawatan lanjut.