Buang Kucing Alasan Anak Semput, Rupanya Boleh Didenda RM100 Ribu

Pasti ramai tahu baru-baru ini tular satu rakaman yang di muat naik di media sosial dimana seorang wanita membuang kucing peliharaannya di tepi jalan sekaligus menimbulkan kemarahan netizen.

Difahamkan, wanita berkenaan berbuat demikian kerana anaknya didakwa menghidap masalah kesihatan semput dan gagal mencari pemilik baru bagi haiwan peliharaan tersebut.

Malah, individu yang merakam kejadian itu turut mengaku tidak mampu menjaga kucing-kucin berkenaan kerana dia juga turut mempunyai alahan.

Isu tular itu mendapat perhatian Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) yang menjelaskan bahawa mereka yang membuang haiwan peliharaan boleh dikenakan tindakan.

Menerusi perkongsian di Facebook mereka, jika tertangkap mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Dalam perkongsian itu, pihak SAFM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menzalimi haiwan peliharaan masing-masing yang sepatutnya dianggap sebahagian daripada ahli keluarga.

Jelas pihaknya lagi, jika tidak boleh lagi menjaga haiwan tersebut hubungi pusat atau persatuan haiwan kerana mereka boleh membantu anda.