Budak 12 Tahun Hidup Di Jalanan Selepas Ibu Bapa Meninggal Akibat Covid-19 Buat Ramai Sebak

Perkongsian pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjadi gelandangan selepas ibu bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 membuatkan ramai sebak.

Menurut Ebit, kanak-kanak tersebut tinggal dan tidur di jalanan sekitar Bukit Raja Klang sejak Januari lalu.

Lebih sebak, kanak-kanak itu hanya mampu menangis apabila ditanyakan mengenai kedua ibu bapanya. Ustaz Ebit berkata dia tidak mampu menahan sebak sebaik sahaja melihat kanak-kanak itu dari jauh.

“Sayu sebak rasa bila terjumpa seorang adik umur 12 tahun di Bukit Raja Klang tidur dijalanan. Kecil lagi dah jadi gelandangan. Mak ayahnya baru meninggal Januari baru ini kerana positif covid. Kasihan hidup tanpa hala tuju lagi.

“Ramai orang sekitar cuba membantu. Ada yang mesej saya. Dia dah tiada sesiapa dalam hidupnya. Berat ujianmu duhai anak. Pasti ada hikmah disebalik semuanya.

“Saya terus bergegas cari adik ni. Dari jauh tengok adik ni terus rasa nak menangis sebab baik dan beradab sangat. Fikir macam manalah hidup merata begini. Bila tanya mak ayah jer terus adik ni menangis. Allahuakbar. Saya sampai tadi terus adik cium tangan. Tiada hp. Tak kenal saya. Wajah bersih jer jernih. Saya dah tiada sesiapa lagi ustaz. Eh, jangan cakap macam tu adik. Saya dan semua yang ada sini macam keluarga adik ye,” tulisnya.

Kata Ustaz Ebit, meskipun hidup sebagai gelandangan namun kanak-kanak itu tetap menunaikan ibadah puasa dan tidak bimbang kerana ramai menghulurkan bantuan makanan di tempat tempat.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit ditempatkan di sebuah sekolah madrasah selepas dipelawa oleh Ustaz Ebit.

Lebih menyentuh hati, kanak-kanak itu memberitahu dia mahu masuk ke sekolah madrasah kerana mahu berjumpa dengan ibu bapanya di dalam syurga.

“Saya tanya adik nak masuk sekolah madrasah. Nak ustaz. Nak jumpa mak ayah dalam syurga. Terus makin sedih, saya pun rindu mak. Rindu ayah. Kami solat sama-sama dan terus hantar adik ni masuk madrasah,” tulisnya.

SUMBER: Facebook Ustaz Ebit Lew