Chef Wan Sound Tepek Sup Jolo Alif Syukri, Sharnaaz Turut Bengang

Berlakon sudah menyanyi pun sudah, nampaknya selepas membuka kedai makan, usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri kini menjual produk makanan yang merupakan resepi hasil air tangannya sendiri diberi nama Sup Jolo.

Difahamkan, pelakon Sharnaaz Ahmad membuat review untuk mencuba Sup Jolo Aliff Syukri itu yang dikatakan ‘Confirm terlajak sedap’ pada April lalu.

Bagaimanapun, video tersebut viral baru-baru ini dan mendapat perhatian chef selebriti terkenal Malaysia, Chef Wan yang berkongsikan menerusi Instagram miliknya.

Menurut Chef Wan, beliau terpanggil untuk memberikan komen apabila Sharnaaz memetik namanya dalam video review tersebut. Menerusi entri itu, Chef Wan memberi teguran padu kepada Aliff dengan mengatakan orang lain nak berniaga makanan, dia juga nak jual makanan.

Ujarnya, bukan tidak boleh menjual makanan tetapi perlu berhati-hati kerana berniaga makanan perlu menerima segala komen tidak kira positif mahu pun negatif.

“Tu la orang nak berniaga makananan pun kau nak juga jual makanan bukan tak boleh kena berhati hati.

“Jika tak pandai masak kena la pi belajar masak betul-betul jika tidak sebagai usahawan dan jutawan yang pakai jam berlian tangan, pergi la melabur kepada mereka yang pakar dalam bisnes makanan untuk membantu.

“Kadang-kadang citarasa kita tak sama dengan orang lain. Jika tak buat cara betul dan syiok sendiri boleh rugi perniagaan itu. Baik masukan duit itu didalam longkang jadikan sampah,” katanya.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata meskipun ada yang mengutuk namun masih ramai peminat Aliff yang akan mahu mencubanya. Katanya lagi, siapa kita untuk mengkritik sedangkan peminat setianya tetap menyokong setiap produk keluarannya.

“Siapalah kita untuk kritik. Scam atau tidak Sup Jolo ini, peminat Aliff Syukri akan tetap setia menyokong setiap produk keluaran jenamanya,” katanya.

Terdahulu, Sharnaaz menerusi video review tersebut meminta Aliff memperbaiki kualiti produk makanannya itu serta melihat semula harga memandangkan harga yang dijual kini iaitu RM16.90 dikatakan agak mahal.