Cikgu Sedih Tiada Pelajar SPM Sertai Kelas Online, Anak Sendiri Masuk Gembirakan Hati Bapa

Susulan penutupan sekolah berikutan penuralan wabak Covid-19 melanda negara, para guru dan juga pelajar diminta untuk melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara atas talian di rumah.

Namun ianya cabaran besar buat para guru apabila ramai pelajar sekadar sambil lewa tentang perkara itu sehingga tidak mengikuti kelas online yang diadakan.

Seorang netizen bernama Nuha berkongsikan kisah bapanya yang juga seorang guru melakukan kelas secara online menunggu di hadapan laptop namun tiada seorang pelajar pun memasuki kelas tersebut.

Lebih menyedihkan selepas hampir setegah jam menunggu, bapanya cuba menghubungi pelajar seorang demi seorang untuk meminta hadir ke kelas namun mereka bertindak mematikan telefon.

Malah, menurut Nuha ada di antara pelajar memberi alasan mereka bekerja, sedangkan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari depan.

Tidak sampai hati melihat bapanya yang bersedih, Nuha menghiburkan hati bapanya dengan mendaftar masuk ke kelas tersebut.

Menurut Nuha, selepas Tweetnya itu tular, ramai yang masuk ke google meet kelas bapanya sebagai usaha memberikan semangat dan menggembirakan hati guru tersebut.

Kata Nuha lagi, pada awal, bapanya begitu teruja meminta bantuannya untuk membuat kelas secara online menggunakan aplikasi zoom dan google meet, namun sebak apabila pelajar tidak hadir dan menghargai jasa guru.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut kesal dengan sikap pelajar yang tidak tahu langsung menghargai jasa guru yang bersungguh-sungguh mahu melihat mereka berjaya.

Dalam pada itu, ramai yang memberikan kata-kata semangat buat guru berkenaan agar tidak putus asa untuk terus menabur bakti dan mengucapkan terima kasih di atas jasanya dalam mendidik anak bangsa

 

SUMBER: Twitter Nuha