Kes Baru Covid-19 Cecah 1,228, Paling Tinggi Di Malaysia & Diikuti 7 Kematian

Jumlah baru kes baru Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan cukup membimbangkan. Jumlah kes terbaru yang dicatat pada hari ini sehingga pukul 12 tengahari ialah 1,228 – menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 25,742 kes setakat ini.

BACA: Gelombang Kedua Covid-19 Berterusan, Jualan Tisu Tandas Di Jerman Kembali Meningkat

Sabah kekal mencatat negeri dengan kes baru paling banyak dengan 889 kes, iaitu 72.4 peratus daripada kes baru hari ini.

Sebanyak 502 kes (41 peratus daripada kes baru) melibatkan tahanan daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Penjara Reman dan Kluster Tembok.

“Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara,” memetik laporan Malaysiakini.

Di negeri-negeri di Lembah Klang yang di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), terdapat 95 kes baru – 7.7 peratus – yang dilaporkan hari ini.

Di bawah ialah pecahan kes baru mengikut negeri:

Sabah – 889
Negeri Sembilan – 96
Selangor – 76
Kedah – 76
Pulau Pinang – 23
Labuan – 21
Perak – 10
Sarawak – 8
Kuala Lumpur – 8
Johor – 7
Melaka – 3

Seramai tujuh lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini, menjadikan angka keseluruhan korban kepada 221 kes, iaitu 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Enam kes kematian berlaku di Sabah dan satu lagi di Perak.
Untuk bulan ini, seramai 77 pesakit Covid-19 meninggal dunia di Sabah.

Sementara itu, seramai 671 pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 16,555 kes.

Justeru, jumlah pesakit yang sedang menjalani rawatan pada masa ini adalah seramai 8,966 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 92 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 31 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.