Dah Jadi Kebiasaan, Wartawan TV3 Ini Sudah Mula Puasa Sejak 20 Tahun Lalu

0
11890

Setiap kali tiba bulan Ramadan, bukan sahaja umat Islam teruja malah ramai mereka yang bukan Islam juga tidak melepaskan peluang untuk berpuasa.

Seperti wartawan penyiaran TV3, Kumaran Rajamoney ini amalan berpuasa sudah menjadi rutin tahunan buatnya, hinggakan beliau terasa janggal jika tidak berbuat demikian.

Malah, Kumaran mendedahkan dia mula berpuasa sejak usia 16 tahun dan sudah mengamalkan sejak 20 tahun lalu.

Tahun ini lebih bermakna apabila hari lahirnya jatuh pada hari pertama umat Islam mula berpuasa iaitu 13 April lalu.

“Saya mula berpuasa sejak umur 16 tahun ketika bekerja secara sambilan di sebuah butik pengantin. Pada waktu itu, majikan saya sememangnya menyediakan sarapan dan makan tengah hari buat semua petugas.

“Ketika tiba bulan puasa, majikan saya itu menyediakan juadah berbuka pula kepada kakitangan yang rata-ratanya Melayu. Bermula dari situ, saya mula belajar dan berjaya berpuasa selama seminggu,” katanya kepada Getaran.

Sejak itu Kumaran berusaha untuk meningkatkan jumlah hari berpuasa sehinggalah berjaya berpuasa penuh sewaktu zaman bujang dari tahun 2005 hingga 2008.

Kumaran turut berkongsi pengalamannya berpuasa, ketika itu dia tinggal bersama rakan serumah berbangsa Melayu mereka akan mengejutnya untuk sahur dan berbuka sama-sama.

“Kini apabila sudah berkerjaya dan berkeluarga, kadang-kadang saya terpaksa ponteng puasa kerana terdapat kenduri saudara-mara dan sebagainya. Tetapi jika tiada aral, saya tetap akan berpuasa dan tahun lalu, saya berpuasa selama 28 hari,” katanya.

Malah, Kumaran berkata ibunya, V. Ramai tidak pernah menghalang kerana ibunya juga pernah berpuasa di bulan Ramadan sewaktu bekerja di sebuah kilang, satu ketika dulu.

“Cuma isteri, S. Kanjana, 36, yang merasa pelik ketika kami mula-mula berkahwin pada 2014 dulu. Namun akhirnya, dia faham akan apa yang saya lakukan malah turut membeli kurma untuk saya berbuka puasa,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman ketika berpuasa, Kumaran berkata dia pernah diminta oleh individu tertentu untuk membantu membelikan makanan buat mereka yang tidak berpuasa.

Namun, dia bertindak menolak permintaan individu berkenaan kerana dia sendiri turut berpuasa dan tindakaan itu tidak manis untuk dilakukan.

SUMBER: Getaran