Dakwaan Pukul Isteri, Asri Janggut Akui Kejadian Itu ketika Zaman Jahiliah

Diangkat sebagai hero susulan pendedahannya mengenai premis kedai judi dan rokok seludup di Sungai Buloh, namun ada pula cerita tak sedap didengar mengenai Pengasas Hot Burger Malaysia, Asri Janggut.

Malah, ada dikalangan netizen mendakwa bahawa peniaga burger itu mempunyai rekod jenayah kekerasan, memukul isteri dan menyeleweng wang syarikat.

Tampil menjelaskan mengenai dakwaan itu, Asri berkata kejadian berlaku ketika dia masih muda dan sebelum mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Berdepan krisis rumah tangga pada tahun 2012, Asri akui ketika itu isterinya yang kini merupakan bekas isteri ada membuat laporan polis namun kes tersebut tidak pernah didakwa.

“Beginilah. Itu berlaku semasa (saya) zaman jahiliah. Masa zaman muda saya. Sebelum saya diberi hidayah oleh Allah SWT.

“Perkara itu adalah (hal) domestik antara saya dan isteri (sekarang bekas isteri). Masa itu berlaku krisis rumah tangga. Isteri saya masa itu buat laporan (polis) dalam keadaan tertekan dan apa yang berlaku sebenarnya kisah lama.

“Tak pernah naik mahkamah, tak pernah didakwa. Cuma sekadar laporan, tiada pendakwaan. Kes itu tahun 2012. Lama dah, bercerai pun pada penghujung tahun itu. Masa itu zaman jahiliah, zaman nakal saya,” katanya.

Tambah Asri, malam tadi bekas isterinya hadir bertemunya untuk memberikan sokongan dan menangis simpati melihat dugaan dihadapinya. Ujarnya, mereka bercerai secara baik dan tiada masalah termasuk penjagaan anak.

Mengulas mengenai dakwaan menyeleweng wang syarikat, Asri menjelaskan ianya berpunca daripada isu rumah tangga terdahulu. Bagaimanapun, segalanya sudah selesai dan tiada lagi isu.

“Dahulu syarikat dijalankan berniaga burger juga, cuma saya letak nama isteri. Duit kami suami isteri, tetapi bila bergaduh dan berlaku krisis, diorang tak benarkan saya ambil duit. isteri saya marah. memang nampak seleweng.

“Mungkin laporan ditulis dalam keadaan marah, selepas kami bergaduh. dia buat laporan, tetapi selepas itu kami berdamai dan tiada isu.”

Dalam pada itu, susulan kenyataannya yang terlanjur mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat, Asri berkata dia kini semakin berhati-hati dan kejadian yang berlaku itu mematangkan dirinya.

“Sekarang ini saya tenang. Tiada apa-apa masalah. Saya dah boleh makan dan sudah boleh tidur lena. Semangat saya semakin kuat,” katanya.

“Inilah mengajar saya mengenai kebijaksanaan apabila berhadapan kontroversi dan keadaan apabila berhadapan dengan wartawan, (perlu) kebijaksanaan dalam berbicara.

“Maka saya mengaku dengan seikhlasnya, demi Allah saya tiada niat untuk menyakiti hati, melukakan, membuat provokasi terhadap mana-mana anggota (pasukan keselamatan) kerana mereka adalah permata negara…kerana mereka inilah pejuang negara,” katanya.

https://youtu.be/iURso396QFs

SUMBER: Harian Metro