Demi Konten, 3 Beradik Sempat Buat Video TikTok Sebelah Jenazah Bapa

Apabila kehilangan ahli keluarga dan insan tersayang, pasti akan rasa sedih lebih-lebih lagi pemergian ibu bapa kita.

Ada yang meluahkan rasa sedih dengan berkongsikan perasan di media sosial. Namun, baru-baru ini tular video memaparkan tiga gadis dipercayai adik beradik membuat video TikTok di sebelah jenazah bapa mereka.

Menerusi video dikongsikan, mereka memuat naik video ‘sebelum dan selepas’ yang menjadi trend di media sosial.

Dalam video ‘sebelum’ pada Oktober 2021, ketiga mereka sedang menari ketika duduk dan seorang lelaki dipercayai bapa mereka berada di belakang.

Kemudian rakaman ‘selepas’ iaitu pada Februari 2022 memaparkan ketiga mereka memakai tudung dan berjubah namun kali ini berdiri di sebelah jenazah bapa mereka.

“Rasa sekejap sangat bersama papa. Perginya pada hari Jumaat setelah bertarung 33 hari di ICU (unit rawatan rapi),” tulisnya divideo berkenaan.

Memetik laporan mStar Online, berdasarkan semakan bapa mereka menghidap kanser tahap empat dan sebelum ini menjalani rawatan kimoterapi.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mengecam tindakan memuat naik video berkenaan yang disifatkan tidak sensitif.

Berikutan video tersebut dikecam teruk oleh netizen, video itu telah pun dipadamkan di aplikasi TikTok akaun berkenaan.

Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi penjelasan berhubung menyebar video merakam orang yang telah meninggal dunia dimana hal tersebut tidak sepatutnya dilakukan bagi seseorang muslim.

SUMBER: mStar