Dibuka Sejak 1995, 2 Panggung Wayang GSC Ini Ditutup Selamanya

Syarikat pawagam terkemuka, Golden Screen Cinema atau GSC mengumumkan berita sedih apabila mengesahkan dua cawangannya telah ditutup berkuatkuasa hari ini.

Menerusi satu perkongsian di Facebook rasmi mereka, GSC dalam satu kenyataan memaklumkan dua cawangan tersebut adalah GSC Berjaya Times Square dan GSC Cheras Leisure Mall, Cheras.

Pasti ianya keputusan sukar memandangkan GSC Cheras Leisure Mall sudah pun beroperasi sejak 26 tahun lalu namun terpaksa ditutup berikutan pandemik Covid-19.

“Kami telah beroperasi dalam tempoh yang cukup panjang bagi GSC Cheras Leisure Mall sejak 1995 dan GSC Berjaya Times Square sejak 2005.

“Namun, ekoran situasi terkini dengan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kami terpaksa menutup pawagam ini secara kekal.

“Dengan ini, kami dengan berbesar hati mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penonton filem yang setia menyokong kedua-dua cawangan GSC ini,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, GSC turut menyeru penonton setia mereka untuk terus mengikuti setiap perkembangan operasi dari semasa ke semasa melalui media sosial mereka.