Dipaksa Makan 80 Cili Seminggu, 1,280 Cili Disumbat Dalam Mulut Bella Selama 4 Bulan

Isu berkaitan adik Bella terhadap kes penderaan yang dialaminya terus hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini.

Malah, dua hari lalu Hakim dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kualam Lumpur semalam diberitahu Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Memetik Harian Metro, mahkamah juga mendengar keterangan bahawa remaja itu tidak dibenarkan minum air selama beberapa hari kerana tidak mendengar cakap Siti Bainun.

Lebih pilu, menurut keterangan saksi pendakwaan kelima yang juga penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood berkata Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, saksi berkata dia atau seorang lagi penghuni rumah terbabit dikenali sebagai Aida mengira jumlah cili padi berkenaan.

Menjawab soalan balas peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf, Yasmin bersetuju Bella diberikan cili padi beberapa kali seminggu.

Farhan bertanyakan sama ada Siti Bainun mengeluarkan arahan untuk mengira jumlah cili itu secara spesifik dan Yasmin Nahar menjawab ‘ya’.

Peguam itu turut mempersoalkan adakah mangsa tidak mengalami sakit perut akibat memakan 80 cili kerana jika diikutkan perkiraan mangsa diberi makan empat kali seminggu.

“Katakan Bella didera empat bulan, kiranya 1,280 cili padi disumbat dalam mulut Bella,” soal peguam itu.

Yasmin juga berkata, Siti Bainun mendera remaja itu setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Ditanya sama ada mulut Bella menunjukkan tanda melecet dan kemerah-merahan akibat makan cili padi itu, Yasmin berkata, terdapat kesan merah dan cili padi itu dibuang mangsa.

Dalam pada itu, mengenai isu Bella tidak dibenarkan minum air, saksi berkata remaja 13 tahun itu curi-curi minum dan dia juga turut memberikan air kepada Bella secara curi-curi.

“Siti Bainun juga arahkan saya pegang bahu Bella ketika berdiri dan menyuruh remaja itu untuk melutut dan diugut bagi air panas. Bella juga ada dihentak kepala di dinding, diejek dan diperbodohkan,” katanya.

Sebelum ini, Siti Bainun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

SUMBER: Harian Metro