Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih mesra disapa Diva AA menegaskan dirinya masih waras ketika diminta mengulas mengenai video majlis rumah terbuka yang diadakannya untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Memetik Utusan Online, Azwan berkata meskipun tiada tetamu lain yang dijemput namun dia tetap menghidangkan juadah raya resipi turun temurun ibunya, Allahyarham Che Tom.
Menurutnya lagi, meskipun arwah ibu dan bapanya sudah tiada lagi namun dia dapat merasakan mereka ada bersamanya.
“Nak kata saya sewel sekali pun sebab buat rumah terbuka untuk orang yang telah meninggal, katalah. Ini rumah saya.
“Realitinya saya buat rumah terbuka semalam dengan menjemput arwah ibu, Allahyarham Che Tom dan arwah bapa, Allahyarham Ali Omar. Saya juga menjemput arwah nenek dan datuk.
“Walaupun jasad mereka tiada, namun saya seperti dapat rasa mereka ada bersama. Terpulangkah warganet nak kata itu kiasan atau apa, perspektif masing-masing. Yang penting saya dapat raikan lebaran ‘bersama’ mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Azwan berkata dia bangun seawal tiga pagi untuk menyiapkan juadah rendang, kari ayam, lontong dan kuah kacang untuk ‘tetamu’ jemputannya itu.
Sementara itu, Azwan berkata dia tawar hati untuk mengadakan rumah terbuka sejak 10 tahun lalu selepas berdepan pengalaman dikhianati segelintir individu.
“Kalau dahulu setiap tahun saya memang wajib buat rumah terbuka dan jemput rakan-rakan artis, kenalan industri dan para wartawan.
“Tapi disebabkan segelintir individu yang cakap buruk belakang saya, lebih-lebih lagi segelintir individu itu adalah artis yang pernah saya kutip bekerja dalam produksi saya, jadi saya sudah tawar hati.
“Tahun ini saya buat sebab teringat dekat mereka yang sudah meninggal. Ia juga sebenarnya menempelak mereka yang tidak dijemput,” katanya.
Azwan Ali kehilangan ibu tersayang, Che Tom pada tahun 2017. Manakala bapanya, Ali Omar yang juga merupakan seorang guru agama telah meninggal dunia lebih daripada 23 tahun yang lalu.
SUMBER: Utusan Online