DPMM Kolaborasi Bersama RichWorks Bagi Pemerkasaan Usahawan

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Polikrisis yang berlaku ketika ini telah & sedang menekan ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga menyebabkan jualan merudum malah hingga ada yang tutup perniagaan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, polikrisis yang dibangkitkan mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman adalah tepat pada masanya untuk usahawan sedar bahawa cabaran dihadapi mereka lebih besar kerana banyak faktor termasuk disrupsi teknologi, pengliberalisasian perdagangan dan juga peningkatan kos-kos input perusahaan termasuk kos buruh serta pekerja.

Katanya, di Malaysia kira-kira 60 peratus PKS gagal dalam tempoh lima tahun penubuhan, menurut artikel Jurnal Keusahawanan ASEAN yang dikeluarkan 7 Ogos lalu.

“Enam daripada 10 PKS pula menghadapi cabaran yang berkaitan dengan pertumbuhan mereka.

“Usahawan berdepan banyak cabaran ketika ini dengan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan bahan mentah ditambah kadar pinjaman di bank menyebabkan kos operasi sesebuah perniagaan makin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Usahasama antara DPMM dan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) diwakili Norsyahrin bersama Dr. Azizan merangkap Pengerusi RichWorks.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dan Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman bersama barisan pengurusan kedua organisasi di Anjung Melayu, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung, Ahmad Yazid Othman; Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad dan Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd.

Tambah Norsyahrin, tekanan semasa kepada usahawan itu memerlukan perubahan dan langkah yang tepat dalam memastikan tiada usahawan tercicir dan kecundang.

“Saya percaya kolaborasi dengan RichWorks yang berpengalaman dalam membimbing usahawan PKS akan membantu ahli-ahli Dewan Melayu untuk lebih dinamis dan mampu berkembang (scale-up) dalam bidang yang mereka ceburi.

“Kami percaya kesemua kolaborasi dengan pakar-pakar seperti RichWorks dan agensi kerajaan akan membantu mencapai hasrat untuk membina masyarakat ekonomi bumiputera (BCIC) yang lebih berpotensi.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon bersama Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman menandatangani perjanjian persefahaman di antara DPMM dan RichWorks di Anjung Melayu, hari ini.

Sementara itu, Dr. Azizan memberitahu, usahawan saat ini tiada pilihan lain untuk tingkatkan ilmu, kemahiran dan strategi bagi berdepan polikrisis yang dijangka akan berpanjangan.

Katanya, polikrisis ini benar dan bukannya dibangkitkan untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama usahawan.

“Ketika ini, saya melihat sendiri sesetengah usahawan alami kejatuhan jualan sekitar 30 ke 40 peratus.

“Keadaan polikrisis saat ini berbeza dengan semasa pandemik bermula Mac 2020 di mana tekanan dari kenaikan harga bahan mentah dan kos tenaga kerja antaranya menggugat ‘survival‘ bisnes.

“Situasi ini dijangka akan berpanjangan hingga 2025, di mana usahawan tidak mudah untuk bertahan bahkan keupayaan untuk bangkit seperti dikatakan dalam World Economic Forum pada awal tahun lalu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azizan memberitahu, RichWorks ambil inisiatif melancarkan program yang membantu usahawan-usahawan dalam memberikan solusi langsung kepada permasalahan dihadapi mereka dalam 10X Bina Bisnes Berjaya dari 2 & 3 September nanti.

Mengulas mengenai perjanjian persefahaman bersama DPMM, pihaknya menghargai jemputan DPMM untuk berkolaborasi dengan satu matlamat jitu iaitu membangun dan memperkasakan usahawan Melayu dan Bumiputera.

“Alhamdulillah, melalui pengalaman dan kepakaran kami bermula 2008 yang terbukti berjaya melahirkan ribuan jenama tempatan dan usahawan jutawan.

“Kami akan berkongsi kepakaran dan pengalaman yang ada untuk bantu dalam usaha membawa perniagaan-perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.