Dr Noor Hisham Muat Naik Status Jam 4 Pagi Beri Peringatan Kluster Perhimpunan Sosial

Sejak Mac lalu sudah menjadi kebiasaan apa sahaja pengumuman dan pemakluman terkini mengenai COVID-19 daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham akan dilakukan di sebelah petang melalui sidang media.

Namun, hari ini berbeza daripada kebiasaan apabila Dr Noor Hisham memuat naik beberapa status mengenai perkembangan semasa COVID-19 sekitar jam 4 pagi tadi.

Perkara itu turut disedari akaun Facebook Public Health Malaysia yang berkongsikan kebimbangan ketua pengarah kesihatan itu mengenai perkembangan beberapa kluster yang terbentuk daripada perhimpunan sosial.

Menerusi perkongsian itu beliau memberikan peringatan kepada orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan dan ketika berada di tempat awam.

Meskipun peringatan itu sudah biasa didengari, namun kali ini menjelaskan kebimbangan beliau terhadap bilangan kluster yang semakin meningkat kebelakangan ini.

“Peringatan ini berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial kebelakangan ini yang tidak mengikut SOP.

“Ini termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan. Perhimpunan-perhimpunan ini telah turut dihadiri oleh individu-individu yang bergejala,” katanya dalam satu perkongsian.

Dr Noor Hisham turut memberikan contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Kuala Lumpur yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya telah merebak dalam komuniti.

Selain itu, Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian.

Selain itu, Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berpunca daripada upacara keagamaan membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

SUMBER: Facebook