Doktor dan juga pempengaruh media sosial iaitu Dr Say meluahkan rasa sebak apabila anak sulungnya, Ace sudah menerima kad OKU ( Orang Kurang Upaya).
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Dr Say berkata dia mengakui terasa berat untuk mengambil kad tersebut serta bertanyakan dirinya sama ada dia bersedia tau tidak untuk memegang kad tersebut untuk anaknya.
View this post on Instagram
“Saya daftar untuk kad OKU Ace pada Januari 2023. Sabtu baru-baru ini saya semak di atas talian & kad OKU Ace sudah boleh untuk dituntut. 4 bulan untuk kad OKU siap.
“Terus terang cerita bila nak amik kad OKU hari ini terasa sangat berat, rasa macam “aku dah bersedia ke nak pegang kad ni untuk anakku?”. Tapi saya gagahkan jua sebab saya juga yang memohon kad OKU itu.
“Sampai dekat JKM Sepang, sepi tak ada orang lain. Macam suasana dicipta untuk saya mendalami yang anak saya istimewa, anak saya kelainan upaya & ini buktinya. Bila kad OKU dihulurkan dekat saya, saya ucap terima kasih pada pegawai JKM & terus saya meluru masuk kereta,” tulisnya.
Menurut Dr Say lagi, air matanya berjurai apabila melihat nama dan wajah anaknya pada kad tersebut.
“Dalam kereta saya amati elok-elok kad OKU tu. Besar tulisan KAD OKU. Ada nama penuh Ace, ada kategori ketidakupayaannya & ada gambar Ace senyum yang cukup suci, ikhlas & naif. Berjurai air mata saya, saya tak tau sebab apa,” tulisnya.
Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata dia tidak pernah rasa malu dengan keadaan anaknya itu kerana kad tersebut adalah bantuan untuk masa depan anaknya jika dia dan isteri tiada di dunia.
“Nak kata saya malu pegang kad OKU ni sikit pun tak, sebab saya tahu kad inilah yang boleh menjadi bantuan terunggul kepada Ace sekiranya saya atau isteri tiba-tiba tiada di dunia ni.
“Nak kata saya sedih anak saya OKU juga tak sebab OKU tidak semestinya dia tak boleh enjoy hidup di dunia ini seperti kanak-kanak yang lain.
“Saya serius tak tahu kenapa saya sayu tapi saya mengambil masa yang agak lama untuk menerima bahawa anak saya kini ‘SECARA RASMI’ berbeza daripada orang lain,” tulisnya.
Sementara itu, Dr Say tutur menitipkan pesanan buat ibu bapa diluar sana jangan pernah berasa malu untuk memohon kad OKU kerana banyak manfaat disediakan untuk mereka.