Dua tahun Kahwin & Ada Anak, Wanita Baru Tahu Nikah Dengan Abang Kandung

Setiap pasangan yang bercinta pasti mahukan hubungan yang dibina kekal ke jinjang pelamin, mempunyai cahaya mata dan hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.

Namun, dek kerana kesilapan bapanya rumah tangga pasangan ini musnah. Baru-baru ini tular perkongsian seorang peguam mengenai kisah wanita yang berkahwin dengan abang kandungnya sendiri.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkongsikan di Facebook, perkara itu terjadi berpunca apabila bapa mereka bernikah secara rahsia di Thailand.

3 tahun bercinta tak pernah jumpa bapa suami kerana sudah meninggal

Wanita tersebut berkongsikan dia berkenalan dengan bekas suaminya ketika menuntut di universiti dan selepas 3 tahun bercinta mereka membuat keputusan berkahwin selepas tamat pengajian.

Sepanjang mengenali bekas suaminya, dia tidak pernah berjumpa dengan bapa lelaki tersebut kerana dikatakan sudah meninggal dunia. Wanita itu berkata dia dinikahkan oleh abang kandung sulungnya sebagai wali memandangkan bapanya juga sudah meninggal.

Selepas dua tahun berkahwin, mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Bermula episod hitam dalam hidupnya pada suatu hari dia bersembang dan ibu mertuanya yang bercerita dia dulu berkahwin dengan bapa kepada suaminya di sempadan Thailand tanpa pengetahuan sesiapa.

Ibu mertua tunjuk gambar bapa mertua, itu adalah arwah bapanya 

Katanya, rasa ingin tahu mendorong wanita itu melihat sijil nikah ibu mertuanya dan terkejut apabila mendapati nama bekas suami ibunya sama dengan nama bapanya.

“Alangkah terkejutnya, bila mertua itu menunjukkan nama ayah mertua yang telah meninggal itu adalah sama seperti nama ayah wanita tersebut.

“Terkedu lidah. Bahkan nombor kad pengenalan juga passport sama. Dia tekad untuk soal, bagaimana ciri-ciri ayah mertuanya itu? Apabila ditunjukkan gambar almarhum ayah mertua yang terselit dicelah fail sijil nikah tersebut, terkejut beruk wanita itu,” tulisnya.

Terkejut dengan perkara itu, wanita itu terus keluar rumah dan memandu kereta pulang ke rumah keluarganya dan bertindak menceritakan segalanya.

“Suami wanita ini tiba lebih kurang satu jam selepas balik daripada tempat kerja secara kecemasan. Bimbang apa-apa berlaku kepada isterinya. Selepas diceritakan segalanya, biru pucat suaminya tersebut. Menangis air mata mengalir tak henti,” ujarnya.

Menerusi entri itu, peguam itu turut menjelaskan ibu mertua perlu membuat pengesahan nikah dan jika pernikahan mereka sah maka suami kepada wanita tersebut dianggap saudara sebapa dimana haram bernikah.

Ujarnya, pernikahan merek perlu di FARAQ kan. Maksudnya, perlu memfailkan segera permohonan Faraq nikah di Mahkamah Rendah Syariah atas sebab pernikahan tak sah tersebut.

Berkenaan status anak mereka pula, dianggap sebagai anak persetubuhan syubhah. Disebabkan ibu dan bapa tersebut tidak tahu mereka adalah saudara, maka anak tersebut perlu dibuat Permohonan Pengesahan Nasab selepas perkahwinan mereka difaraqkan.

Anak tersebut boleh terima nafkah daripada bapanya, boleh mewarisi dan boleh diwalikan oleh bapanya.

SUMBER: Facebook Khairul Fahmi