Dulu Dipandang Rendah Keluarga Bekas Kekasih, Kini Jadi Tauke Air Jana Lima Angka Sebulan

Di zaman serba mencabar ini, bukan mudah untuk berjaya dalam kehidupan dan perlukan usaha berlipat ganda untuk mencapai kejayaan. Seperti pemuda ini yang tidak pernah terfikir untuk berputus asa dan kini bergelar usahawan berjaya.

Zikhri Taufik, 22 tahun kini mampu tersenyum lebar apabila perniagaan minuman yang diusahakannya meraih pulangan lumayan. Akui bukan mudah untuk berada di tahap sekarang, namun Zikhri berkata ianya lumrah dalam perniagaan.

Sebelum mengusahakan perniagaan minuman popular dari Thailand, Zikhri berkata dia pernah berniaga pakaian selepas tamat SPM namun hanya mampu bertahan seketika sahaja.

Ujarnya lagi, ketika itu dia mempunyai perancangan untuk menjual air, namun ibu kepada bekas kekasih tidak yakin dengan hasratnya itu. Kecewa kerana dipandang rendah, dia kemudian menjauhkan diri dan akhirnya hubungan mereka berakhir.

“Pernah rasa duit banyak masa tu sehingga ada RM20 je dalam bank. Perniagaan bertahan enam bulan. Tapi saya tak mahu putus asa. Saya ulang alik dari Gombak ke Genting Highland untuk bekerja sebagai pembantu kedai.

“Dari situ saya kumpul modal semula. Pada masa itu, saya ada perancangan nak jual air. Tapi mak kepada bekas teman wanita saya ragu-ragu dengan idea itu.

“Awak mampu ke sara anak makcik ni dengan “jual air je? Dia kata macam tu. Selepas diperkecilkan saya perlahan-lahan menjauh dan kini kami sudah tiada apa-apa,”katanya.

Pada awalnya menjadi master stokis untuk minuman berkenaan, perlahan-lahan usahanya menbuahkan hasil apabila pernah mencapai keuntungan RM25,000 sebulan.

Lebih manis, dia juga berjaya membeli kereta idamannya, BMW X30 dua bulan lalu menggunakan wang keuntungan perniagaannya.

Tidak hanya setakat itu, dia juga berusaha untuk menambah ilmu dengan mengikuti kelas pemasaran dan mahu membuktikan bahawa dengan menjual air juga mampu mendapat keuntungan.

“Saya juga banyak lebihkan famili. Baiki rumah, baiki pagar dan sebagainya. Insyaallah selepas tamat COVID-19 saya nak bawa keluarga mengelilingi Eropah,” katanya.

Dalam pada itu, Zikhri turut memberikan kata-kata semangat kerpada anak muda di luar sana yang baru memulakan perniagaan agar tidak mudah putus asa dan yakin bahawa rezeki akan semakin mencurah-curah jika berbakti pada keluarga.

SUMBER: mStar