Bagi mereka yang memohon pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pasti ada yang sudah menerima wang berkenaan.
Tidak dinafikan, ramai yang dapat menarik nafas lega apatah lagi wang tersebut dapat digunakan untuk meneruskan kehidupan susulan pandemik melanda sebelum ini.
Seperti seorang pengguna TikTok @hello _eyka ini, wang tersebut digunakan sebaik mungkin apabila akhirnya dapat membeli kereta Kancil untuk kemudahan mereka sekeluarga.
Menurut wanita itu, itu adalah kereta pertama mereka dan menyifatkan ianya rezeki buat anak-anaknya. Ujarnya, sebelum ini mereka hanya menggunakan sebuah motosikal untuk kemana-mana sahaja.
Lebih manis, wanita itu turut berkongsikan video anak sulungnya tersenyum apabila dapat ke sekolah menaiki kereta baru mereka itu.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa syukur di atas rezeki diberikan buat keluarga itu.
Malah, ada yang yang mengatakan sebenarnya ramai yang sangat-sangat memerlukan duit KWSP tersebut. Tidak kurang juga ada melalui pengalaman sama meminta mendoakan supaya mereka juga memiliki kereta suatu hari nanti.