Elemen Antirasuah Diperkenal Dalam Subjek Bahasa Malaysia Tahun Depan

Seperti kita tahu budaya rasuah di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu malah, isu rasuah kini dilihat semakin berleluasa. Namun, sejak berlakunya pertukaran kerajaan, satu persatu skandal rasuah dibongkarkan.

Malah, Malaysia berjaya melonjakkan kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di tangga ke-51 tahun lalu berbanding kedudukan ke-61 pada 2018.

Bagaimanapun, masalah rasuah akan terus berleluasa jika tiada pendedahan tentang keburukan gejala rasuah terutama kepada anak-anak muda mahupun dari peringkat bawah.

Sehubungan itu, elemen antirasuah melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi murid Tahun 5 akan diperkenalkan di sekolah bermula tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, ia adalah usaha untuk mendidik pencegahan rasuah di peringkat awal persekolahan bagi membanteras gejala berkenaan.

“Pihak saya sedang memberikan tumpuan kepada pendidikan berkesan akan pencegahan rasuah di peringkat persekolahan dan universiti,” katanya.

Selain itu, katanya, tiga pusat pengajian tinggi iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bersetuju untuk mengadakan subjek elektif integriti dan rasuah selaras dengan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NCAP).

SUMBER: Harian Metro