Filem BABI Tercalon Dalam 4 Anugerah Antarabangsa, Laporan Polis Dibuat Terhadap Namewee

Namanya sering terpalit dengan kontroversi, terbaru filem Babi arahan penyanyi rap Namewee atau nama sebenar Wee Meng Chee tercalon dalam empat anugerah filem antarabangsa.

Meskipun berjaya di peringkat antarabangsa, namun filem ini tidak mendapat sokongan yang sama di Malaysia.

Malah, lebih menjadi bualan ramai apabila poster filemnya itu didakwa menyentuh sensitiviti kaum kerana mengandungi perkataan ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat hari ini oleh Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan terhadap penyanyi rap itu.

Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi berkata tindakan Namawee itu merupakan satu penghinaan dan berniat buruk untuk mencetuskan kemarahan kaum.

“Sudah banyak kali dah dia buat hal. Kenapa perkataan Melayu letak di tengah-tengah poster dan bangsa lain di tepi-tepi saja? Adakah dia nak membuat provokasi terhadap orang Melayu?

“Di dalam poster tersebut juga tertera ayat hinaan ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’ yang saya risau boleh menimbulkan ketegangan kaum dan bangsa di Malaysia,” katanya.

Azwan turut meminta pihak polis menyiasat Namewee di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan membawa balik Namewee dari Taiwan.

Dalam pada itu, Azwan turut menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat secara keseluruhan akaun media sosial Namewee dan kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses oleh rakyat Malaysia.

‘Babi’ telah tercalon dalam empat festival filem antarabangsa, iaitu Open World Toronto Film Festival (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Best Feature Film), International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival (Best Original Film Song).

Filem tersebut mengisahkan tentang kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada tahun 2000.

Menurut Namaweee, skrip sudah ditulis sejak tujuh tahun lalu namun tidak dihasilkan kerana tiada yang mahu melabur dalam filem yang diharamkan dan tidak menguntungkan.

SUMBER: MalaysiaKini