Gaduh Dengan Bini, Pergi Tumpang Tidur Rumah Janda

Mahu menyelamatkan diri apabila dicekup oleh anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), seorang lelaki memberi alasan terpaksa membawa anak lelakinya tidur di rumah rakan wanitanya kerana bergaduh dengan isteri.

Memetik laporan berita ini, lelaki berusia 35 tahun itu yang juga seorang penjawat awam ditahan jam 3.40 pagi tadi di rumah wanita terbabit di Taman Serai Wangi, Kulim.

Menurut Pegawai Penguat Kuasa PADK Azwan Azman, pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di rumah itu sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita berusia 39 tahun membukanya dan membenarkan untuk melakukan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mereka menemui lelaki tersebut dan anak lelakinya berusia empat tahun berada dalam sebuah bilik, manakala seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai anak wanita berkenaan sedang tidur di bilik lain.

Gagal mengemukakan dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram, pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Difahamkan, lelaki itu bekerja dan menetap di Pulau Pinang, malah isterinya juga dipercayai seorang penjawat awam.

Pasangannya pula merupakan ibu tunggal dan bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Bertam, Pulau Pinang. Wanita itu mempunyai empat anak namun tiga lagi yang lain tinggal bersama bekas suami.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.