Dek kerana tidak mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan, seramai 54 penduduk dihukum berdoa dan merenung kubur mangsa korban Covid-19 di kawasan perkuburan Praloyo di Jalan Lingkar Timur Sidoarjo-Jawa Timur.
Individu yang ingkar arahan kerana tidak memakai pelitup muka itu diminta duduk di sebelah kubur berdoa untuk mangsa terkorban dari jam 11.30 malam sehingga jam 12.15 tengah malam.
Ketua Polis Sidoarjo, Pesuruhjaya Sumardji berkata, hukuman itu dilakukan sebagai pengajaran kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka ketika pandemik Covid-19.
“Hukuman ini sengaja diberikan kepada mereka bagi memastikan masyarakat sedar mengenai kepentingan pemakaian pelitup muka,” katanya seperti dilaporkan Kompas.
“Kami juga akan terus menilai apakah cara ini efektif atau tidak kerana kami tidak akan pernah bosan berusaha untuk mendisiplinkan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, di Jakarta Selatan, mereka yang tidak memakai pelitup muka dihukum menyapu dan membersihkan kawasan pasar serta perlu membayar denda.
Setakat ini, Indonesia telah mencatat lebih 100,000 kes COVID-19 dengan 8,025 kematian direkodkan.