Guru Turun Bawah Jambatan Tengok Hidup Murid Sendiri, Undang Sebak Netizen

Susulan pandemik Covid-19, tidak dinafikan ramai yang terjejas pendapatan sehingga ada yang tidak makan. Lebih menyedihkan ada yang kehilangan timpat tinggal.

Baru-baru ini tular di media sosial video memaparkan beberapa orang cikgu datang melawat anak muridnya yang tinggal di bawah jambatan berhampiran sebatang sungai.

Kedatangan cikgu itu disambut oleh si bapa yang menjemput masuk ke ‘kediaman’ mereka yang serba daif. Difahamkan, kawasan tempat tinggal murid itu terletak di jambatan di Kampung Sedeng, Segamat.

Perkongsian video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang sebak melihat tempat tinggal murid berkenaan.

Dalam pada itu, netizen turut mengucapkan terima kasih kepada cikgu berkenaan yang prihatin dan bertangungjawab terhadap anak murid mereka.

Tidak kurang juga ramai yang memuji ibu bapa murid tersebut yang tetap menyekolahkan anak-anak mereka meskipun hidup susah serta mendoakan agar dilimpahi rezeki.

Terbaru, memetik laporan Harian Metro, keluarga tersebut sudah pun dipindahkan ke bilik sewa dua hari lalu. Lelaki berusia 35 itu telah mendirikan rumah tangga dengan wanita mualaf berusia 30 tahun pada Disember lalu.

Sementara itu, pihak JKM turut mempertimbangkan bantuan bulanan berjumlah RM300 selama setahun di bawah skim bantuan am.

SUMBER: Harian Metro