Hanya Kerja Di Warung, Wanita Ini Mampu Hadiahkan Ibu Jambangan Bunga Duit RM3,000

Setiap anak pasti ingin lakukan yang terbaik untuk membahagiakan ibu bapa serta membalas jasa mereka yang selama bertahun-tahun sanggup bersusah payah untuk membesarkan kita.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini sememangnya menjadi inspirasi ramai mengenai seorang gadis yang memberikan kejutan istimewa kepada ibunya sehingga mengalirkan air mata.

Kejutan berupa bunga duit sememangnya sudah menjadi trend pada masa kini di mana duit akan diolah menjadi bentuk bunga mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pelanggan.

Menurut gadis tersebut, Nurhazreen Md Ris berkata dia tidak menyangka kejutan yang dilakukan sempena ulang tahun kelahiran ibunya yang 54 tahun pada 21 November lalu menyentuh emosi insan yang melahirkannya itu.

Nurhazreen yang berasal dari Tawau berkata, bunga duit itu menghimpunkan wang kertas berjumlah RM3,000 yang merupakan hasil daripada tabungnya sejak Januari 2019.

Ujanya, dia sememangnya sudah berniat untuk membuat kejutan berupa bunga duit pada hari ulang tahun ibunya.

“Tapi dalam tabung hanya ada RM2,100. Saya cakap dalam hati kalau Allah izinkan saya bagi RM3,000, insya-Allah hajat itu akan ditunaikan”

“Saya dapat kumpul duit gaji saya lagi bagi mencukupkan jumlah RM3,000. Akhirnya dapat betul-betul bagi mak RM3,000,” katanya.

Tambah Nurhazreen lagi, dia hanya belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja dan kini bekerja di warung yang diusahakan oleh ibu sejak 10 tahun lalu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ” ” (@royalgift_my)

Kata Nurhazreen, dia memang bekerja di warung pada hari kejutan dibuat, namun memberi alasan kepada ibunya untuk pulang awal kerana urusan lain.

“Saya pun menangis bila tengok video yang dibuat oleh pihak yang menghantar bunga duit itu. Saya sebak tengok mak menangis.

“Memang tak sangka mak menangis dapat kejutan tu. Selamat hari lahir mak, terima kasih mak atas segala penat lelah dan pengorbanan mak, mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik saya,” katanya.

SUMBER: mStar