Hilang Penglihatan Akibat Kemalangan, Wanita Anggap Rezeki & Gurauan Allah

Pasti ramai tahu baru-baru ini tular video mengenai seorang wanita bernama Masitah Mohd Afandy yang hilang deria penglihatan selepas terlibat dalam kemalangan.

Namun, apa yang mengagumkan, meskipun diuji sedemikian namun ramai mengagumi dengan sikap positif dan sabar yang ditunjukkan oleh Masitah atau mesra disapa Mashy.

Memetik mStar Online, Mashy berkata dia bersyukur dikurniakan suami yang memahami serta memberikan dorongan padanya.

“Dia adalah orang yang sangat sabar, positif dan sering memberikan dorongan kepada saya.

“Sekarang pun bila saya sakit suamilah yang angkat dukung saya ke bilik setiap hari. Baru-baru ini suami demam panas tetapi dia masih menyantuni saya dengan sangat baik,” katanya.

Berkongsikan kejadian berlaku, Mashy berkata dia sudah mendapat banyak hint sebelum kemalangan berlaku.

“Dua minggu sebelum kejadian saya nampak macam satu vision Allah macam bagi alamat, ketika itu saya sedang buat kerja di pejabat, sekali imbas nampak saya kemalangan dalam sebuah kereta warna putih.

“Dalam keadaan jaga, sedar kita ternampak, tak tahu macam mana Allah rezekikan. Alhamdulillah. Saya bercakap dengan suami, dia kata tak ada apalah, jangan cakap bukan-bukan,” katanya.

Sementara itu, suami kepada Mashy iaitu Nik Nazri berkata dia reda dengan takdir namun bersyukur isterinya masih ada bersamanya.

“Saya sangat redha dan bersyukur sebab saya masih tidak kehilangan isteri saya. Cuma dia kehilangan penglihatan tetapi bagi saya tidak mengapa kerana saya ada untuk jaga dan apa yang penting isteri masih ada bersama saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mashy menganggap ujian diterimanya itu adalah gurauan daripada Allah. Baginya, Allah bergurau dengannya serta berharap Allah sayangkan dirinya.

“Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan anggaplah ujian itu sebenarnya gurauan daripada Allah, kenapa gurauan, konsep saya gunakan untuk pujuk diri sendiri.

“Kita takkan bergurau dengan orang yang kita tak sayang, kita hanya bergurau dengan orang yang kita sayang, jadi saya anggap dan berharap sebenarnya Allah bergurau dengan saya sebab saya berharap Allah sayang dengan saya,” katanya.

Difahamkan, Mashy terlibat kemalangan jalan raya selepas kenderaan dinaikinya dirempuh lori pada 21 Mac lalu.

SUMBER: mStar Online