Hospital Berhasrat Beri Vaksin Kepada Influencer Terlebih Dahulu?

Hari ini hangat diperkatakan apabila portal MalaysiaKini melaporkan rancangan Hospital Serdang untuk memberi vaksin kepada influencer atau personaliti media sosial terlebih dahulu.

Kakitangan hospital yang enggan dinamakan berkata pengurusan Hospital Serdang berhasrat memasukkan tiga orang pempengaruh media sosial dalam penerima pertama vaksin esok.

Bagaimanapun identiti tiga influencer itu belum didedahkan serta tidak jelas sama ada mereka juga merupakan petugas barisan hadapan mahupun memiliki pengikut yang ramai di media sosial.

Selain influencer, Hospital Serdang turut mencadangkan pihak pengurusan kanan hospital diberi vaksin terlebih dahulu.

Menurut beberapa sumber termasuk kakitangan Hospital Serdang, antara yang tersenarai sebagai penerima pertama vaksin adalah pegawai pengurusan kanan hospital yang tiada kontak secara terus dengan pesakit.

“Selain pemvaksin, hospital nampaknya mahu memasukkan pegawai pengurusan kanan dan tiga pempengaruh sebagai sebahagian penerima pertama,” kata sumber tersebut.

Sumber berkata, tujuan pihak hospital adalah untuk menggalakkan orang ramai untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Bagaimanapun, rancangan itu dilihat tidak membantu menaikkan semangat kakitangan barisan depan hospital tersebut.

“Idea menyertakan pempengaruh ini agar mereka menjadi contoh. Tetapi ia mengecewakan, terutama kepada mereka yang benar-benar di barisan hadapan melawan pandemik,” kata sumber lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi sumber yang merupakan kakitangan hospital itu turut mengakui bahawa ada rancangan seperti itu.

Sementara itu, MalaysiaKini melaporkan Pengarah Hospital Serdang Dr Rohana Johan tidak memberi maklum balas untuk mengulas perkara itu. Setakat ini, Jabatan Kesihatan Selangor masih memberi maklum balas mengenai isu itu.

Hospital Serdang dipilih sebagai antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan akan mula memberi vaksin esok 26 Februari.

SUMBER: MalaysiaKini