Ibu Kandung, Bapa Tiri Adik Amir Berdepan Hukuman Gantung

0
29015

Baru-baru ini negara digemparkan dengan kes seorang kanak-kanak lelaki Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera oleh ibu dan bapa tirinya.

Hari ini, pasangan suami isteri itu didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka atas dua pertuduhan membunuh dan mendera kanak-kanak terbabit.

Mengikut pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, tertuduh yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa boleh dihukum mati.

Pasangan itu turut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun kedua mereka mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakandi hadapan Hakim Nariman Badruddin serta tidak membenarkan ikat jamin.

Tertuduh lelaki diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak, manakala tertuduh wanita pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman.

Kedua-kedua kes berkenaan akan disebut semula pada 29 Mac depan sementara menunggu laporan bedah siasat.

SUMBER: BH Online & Kosmo