Ibu Mangsa Basikal Lajak Berhenti Buat Biskut, Tak Masak Asam Pedas Sebab Teringat Arwah Anak

Dua hari lalu Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Ia sekaligus mengepikan keputusaan mahkamah pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada tuduhan berkenaan.

Sementara itu memetik The Star, ibu kepada salah seorang mangsa basikal lajak iaitu Sabariah Yusoff berkata dia mahu meneruskan hidup selepas pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu dijatuhkan hukuman.

Ujarnya lagi, dia turut meminta orang ramai supaya berhenti mengkritik keluarga-keluarga mangsa.

“Sejak kemalangan pada 2017, keluarga saya dan keluarga mangsa lain menerima banyak kritikan daripada orang ramai terutama netizen kerana membiarkan anak kami keluar berbasikal di tengah malam.

“Saya difahamkan pemandu wanita itu juga menerima banyak kecaman orang ramai. Saya harap orang ramai boleh menghormati keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ibu kepada mangsa Mohamad Azhar Amir, 16 tahun itu berkata anaknya itu seorang yang sangat manja berbanding adik-beradik lain.

“Mohamad Azhar adalah yang paling rapat dengan saya dan paling manja antara semua anak saya.

“Sebelum Hari Raya setiap tahun, dia menemani saya ketika saya pergi membeli-belah dan menjadi pembantu saya ketika membakar kuih raya.

“Selepas kematiannya, saya berhenti membuat biskut dan tidak lagi memasak kerana apabila saya membuat masakan asam pedas kegemarannya, saya teringat kepadannya,” katanya.

Dalam pada itu, selepas pemergian Azhar, anak-anaknya yang lain tidak membenarkannya melihat media sosial yang dipenuhi dengan komen negatif mengenai keluarga mangsa.

“Sebagai seorang ibu yang kehilangan anaknya, saya berasa sakit. Mereka yang mengkritik saya tidak tahu bagaimana rasanya berada di tempat saya,” katanya.

Terdahulu, Sam Ke Ting, 27, turut diperintah menjalani hukuman enam bulan penjara jika tidak membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

SUMBER: The Star