Ibu Sanggup Guna Parang Halang AADK Tangkap Dua Anak Sedang Lalok

Kasihnya seorang ibu sanggup menunggu di luar rumah sambil memegang parang bagi menghalang dan menggagalkan usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak menahan dua anaknya yang sedang khayal menghisap dadah.

Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku di Batu Kurau hari ini. Hasil siasatan mendapati, kedua suspek adalah penagih tegar yang dikehendaki selepas berjaya meloloskan diri dalam beberapa serbuan sebelum ini.

Menurut Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, A Reuben, ibu suspek berusia 60 tahun itu berjaya dipujuk oleh anggotanya dalam masa 30 minit.

Kedua anaknya berusia 18 dan 20 tahun itu ditahan selepas cuba meloloskan diri dengan memanjat bumbung rumah.

“Kerjasama daripada ahli keluarga penting dalam membantu proses pemulihan bagi seseorang penagih dadah.

“Jika sikap ahli keluarga enggan bekerjasama dengan mempertahankan suspek, ia akan menyukarkan seseorang penagih itu untuk pulih daripada gejala dadah,” katanya.

Dalam operasi bermula 1 pagi hingga 12 tengah hari itu, pihak AADK berjaya menahan 36 lelaki termasuk seorang tokan dadah.

Menurutnya, tokan berusia 45 tahun itu ditahan bersama 55.29 gram dadah disyaki morfin yang dianggarkan bernilai RM1,000 mengikut harga pasaran.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.

SUMBER: Harian Metro