Ibu Sara Keluarga Jadi Penghantar Makanan Hancur Kaki Dirempuh Lori

Tidak dinafikan, ramai yang terjejas pendapatan susulan pandemik Covid-19. Malah, ramai yang terpaksa berniaga kecil-kecilan dan ada yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk mencari rezeki.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah yang terus muncul di fikiran apabila mendengar perkhabaran mengenai seorang ibu ini yang terlibat kemalangan ketika mencari rezeki.

Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu baru sahaja menghantar makanan kepada pelanggannya kira-kira jam 10.30 pagi semalam di Sandakan, Sabah.

Susulan daripada kemalangan itu, kaki kiri mangsa hancur selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori di Jalan Lintas Labuk.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, menerusi siasatan awal, pihaknya mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bergerak dari arah Batu Lapan ke Taman Faja.

Akibat rempuhan, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki kiri lalu dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk menerima rawatan lanjut.

Pemandu lori berusia 59 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.

SUMBER: Astro Awani