Ibu Tunggal Terpaksa Jual Telefon Demi Nak Pastikan Anak-Anak Dapat Makan

Sejak tahun lalu, ramai yang terkesan dan terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Lebih menyedihkan, ada yang hilang kerja dan terpaksa menculas makanan. Baru-baru ini, tular perkongsian video seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Shahril berkongsikan kisah seorang ibu tunggal ini.

Menurutnya, pada suatu hari dia disapa oleh seorang wanita yang datang menaiki motosikal ketika sedang berehat. Wanita itu menawarkan untuk menjual telefon untuk membelikan makanan dan minuman buat anak-anaknya.

Lebih sebak, wanita itu yang merupakan ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu berkata dia dan anak-anaknya tidak makan sejak dari pagi lagi.

“Tengah rehat tiba-tiba akak ni mai. Dia nak jual telefon dia. Saya tanya kepada nak jual, dia cakap tak ada duit nak makan. Dari pagi tak makan.

“Ni dari pagi tak makan, anak dekat rumah pun tak makan. Minyak motor pun nak habis dah,” tulisnya.

Dalam pada itu, wanita itu berkata dia mengambil upah mencuci namun disebabkan PKP dia tidak dapat lagi melakukan kerja berkenaan.

“Kak buat kerja cuci rumah orang. Ni Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tak boleh buat. Ni telefon anak dia tak bagi jual, tapi kak terpaksa. Duduk dengan anak 4 orang, kak ibu tunggal.

Simpati dengan nasib menimpa wanita tersebut, Shahril memberikan sedikit bantuan serta akan menghantar bantuan lain ke rumah hasil daripada kerja amal yang dilakukannya.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut bersimpati dengan nasib ibu tunggal itu serta mendoakan agar dimurahkan rezeki untuk menyara anak-anak.

SUMBER: TikTok Shahril