Iklan Shopee ‘Sindir’ Isu Premis Judi Di Sungai Buloh Buat Netizen Terhibur

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai pendedahan seorang peniaga burger mengenai kewujudan premis perjudian haram dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.

Peka dengan isu panas yang berlaku itu, platform beli belah e-dagang, Shopee yang tampil dengan iklan penyedut habuk seolah menyindir isu tersebut.

Lebih menarik iklan tersebut menggunakan perkataan dengan semuanya huruf besar yang berkaitan dengan isu berkenaan. Apa yang menghiburkan netizen, Shopee menyindir dengan menyebut tentang habuk.

“Ada kesan habuk yang membuktikan premis anda telah lama tidak beroperasi dan ditinggalkan?” tulis pada iklan tersebut.

Diruangan komen, rata-rata netizen akui terhibur dengan iklan tersebut dan menyifatkan Shopee bijak mengambil peluang dengan isu semasa untuk memasarkan produk mereka.

Dalam pada itu, netizen turut berseloroh dengan bertanyakan adakah penyedut habuk tersebut mungkin boleh menyedut pegawai-pegawai yang menerima rasuah.

Terdahulu, Facebook rasmi Polis Daerah Sungai Buloh memuat naik dua foto yang menunjukkan meja berhabuk di premis yang didakwa wujudnya aktiviti perjudian haram oleh pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Asri Janggut.

“Kesan habuk yang membuktikan premis telah lama tidak beroperasi dan ditinggalkan,” kata Polis Daerah Sungai Buloh.