Ini Cerita Sebenar Di Sebalik Video Lelaki Terajang Kepala Ayah Tiri, Netizen Masih Tak Puas Hati

Sejak semalam tular video di media sosial seorang lelaki memukul dan menendang seorang warga tua sehingga terduduk membuatkan netizen berang.

Memetik laporan Harian Metro, lelaki tersebut memukul warga emas yang merupakan bapa tirinya itu berikutan tidak diberikan wang untuk membeli dadah.

Dalam kejadian berlaku di di Kampung Ruat, Yan, Kedah itu, lelaki berusia 30 tahun itu memukul dan menendang sebanyak dua kali di dada dan muka bapa tirinya yang berusia 71 tahun itu.

Menerusi video tular, ibunya kemudian duduk bersama bapa tirinya yang menahan kesakitan sebelum beredar selepas bertindak biadab.

Disebabkan lelaki itu bertindak di luar kawalan, ibunya meminta orang kampung melaporkan kejadian itu kepada polis.

Suspek kemudiannya ditahan di kawasan Lubuk Boidi dan siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dilakukan.

Menurut Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berdasarkan maklumat anak tiri mangsa adalah seorang penagih dadah tegar dan sering memukul warga emas itu sekiranya enggan diberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.

“Mangsa yang mengalami sakit di dada dan muka kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya.

Sementara itu, siasatan lanjut mendapati suspek adalah seorang pesakit mental dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental yang disahkan oleh isteri mangsa.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012.

Dalam pada itu, diruangan komen Facebook Harian Metro, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati serta berharap lelaki berkenaan menerima balasan setimpal meskipun memegang kad OKU.

Malah, ada yang meluahkan rasa terkejut kerana sudahlah seorang pesakit mental, OKU dalam masa sama penagih tegar. Tidak kurang juga ada yang meminta kerajaan supaya mengkaji semula undang-undang buat mereka yang terlibat dengan najis dadah apatah lagi sudah beberapa kali ditempatkan di pusat pemulihan.

SUMBER: Harian Metro