Ini Jumlah Sebenar Kerajaan Jimat Lepas Guna Vellfire Berbanding Perdana

Baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai penggunaan Toyota Vellfire 2.5L bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri, apabila proses penggantiannya dimulakan pada April lalu.

Keputusan kerajaan itu dibuat berdasarkan kos sewaan bulanan kenderaan tersebut yang lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kos sewa bulanan bagi Toyota Vellfire 2.5L adalah lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium RM4,854.41.

Kenyataan itu juga memaklumkan, penukaran model Kenderaan Rasmi Kerajaan juga dibuat berikutan penamatan pengeluaran Proton Perdana 2.4 Premium pada 2014.

Menurut kementerian itu lagi, cadangan penukaran model kenderaan rasmi Jemaah Menteri itu telah dipertimbangkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, namun hanya dilaksanakan tahun ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul mendedahkan kenderaan rasmi untuk Menteri Kabinet Malaysia telah ditukar daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5 sejak April 2021.

SUMBER: BH Online