Ini Kisah Akak Sanggul Tinggi, Gaduh Di Kelantan Yang Sedang Viral

Sejak pagi tadi tular video di media sosial memaparkan insiden pergaduhan dipercayai berlaku di Pasir Tumboh, Kelantan. Pergaduhan itu menyebabkan seorang lelaki dibelasah beramai-ramai.

Memetik laporan Harian Metro, pertengkaran itu berlaku dipercayai berpunca daripada ejek mengejek sehingga seorang buruh dibelasah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata dalam kejadian 5 petang itu, lelaki berusia 30 tahun sedang berjalan kaki dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya.

Dia mendakwa dihampiri kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki seorang lelaki bersama tiga wanita.

“Kejadian dikatakan bermula apabila pemandu lelaki itu dikatakan membunyikan hon sebelum memberhentikan kenderaannya.

“Dari sini berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek antara kedua belah pihak dan kenderaan itu juga ditendang oleh mangsa seperti dirakam video yang tular berkenaan,” katanya.

Mangsa mendakwa dipukul oleh suspek dan beberapa individu tidak dikenali termasuk seorang wanita menyebabkannya bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan.

Dalam pada itu, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut utuk mengetahui punca sebenar kejadian kerana satu pihak lagi belum tampil membuat laporan polis.

Ujarnya lagi, usaha mengesan saksi serta mereka yang terbabit sedang dijalankan.

“Kami meminta mereka yang menyaksikan serta merakamkan kejadian ini untuk hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan,” katanya.

SUMBER: Harian Metro